OLEH AFIX REDZUAN
KUCHING, 6 OKT: Selangor terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas tewas 6-0 kepada Kelantan dalam perlawanan akhir bola sepak Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA XIX).
Berlangsung di Stadium Negeri Sarawak, Kelantan mendahului Selangor 2-0, pada babak pertama sebelum menambah satu lagi jaringan selepas babak kedua bersambung.
Di penghujung permainan, Kelantan menambah tiga lagi gol untuk memastikan kemenangan selesa 6-0.
Bagaimanapun, semangat juang dipamerkan pemain dipuji jurulatih, Tang Siew Seng walaupun baru melatih mereka dalam tempoh sebulan setengah.
“Secara asasnya pemain Selangor ini masih muda. Bila mereka tahu penyerang utama cedera, moral mereka menurun.
“Saya mengakui Kelantan lebih baik dan kuat. Ini satu pengalaman baik untuk pemain muda supaya (persembahan) mereka dapat ditingkatkan,” katanya.
Katanya, walaupun masih banyak kekurangan, disiplin tinggi yang dipamerkan pemainnya memperlihatkan potensi mereka untuk melangkah lebih jauh di masa hadapan.
Katanya, persediaan jangka panjang perlu dilakukan bagi memantapkan pasukan supaya lebih cemerlang dalam edisi akan datang.
Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan, Sabah berjaya menewaskan Pulau Pinang, 6-2 dalam perebutan pingat gangsa yang berlangsung lebih awal, pada sebelah pagi.
-AA-