OLEH ERMIZI MUHAMAD
SERI ANDALAS, 12 OKT: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diperingat tidak menjadi ‘budak suruhan’ kepada pentadbiran Kerajaan Umno Barisan Nasional ekoran gagal memainkan fungsi sebenarnya apabila kini lebih cenderung berpihak kepada Umno BN dalam isu persempadanan semula.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei, berkata SPR memberikan kelebihan kepada Umno untuk bertanding di kawasan yang mereka reka khusus untuk Umno tanpa memikirkan rakan gabungan dalam Barisan Nasional lagi.
“Gambaran yang diberikan adalah mereka terus fokus untuk menang sekurang-kurangnya 35 kawasan dengan perubahan cadangan persempadanan baru ini.
“Jelas sekali SPR melakukan proses ini atas arahan daripada Umno dan Barisan Nasional,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang medianya bersama Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Andalas, Dr Xavier Jayakumar di Pusat Khidmat DUN Seri Andalas, di sini semalam.
Sebelum ini, proses persempadan semula yang dijalankan SPR menimbulkan keraguan dan dilihat berpihak kepada parti pemerintah Umno BN.
Atas desakan itulah, pelbagai pihak tampil menggesa supaya SPR lebih telus memainkan fungsi sebenar badan itu tanpa cenderung berpihak kepada mana-mana parti politik.
“Cadangan persempadanan semula ini diatur secara tergesa-gesa dan dibuat dengan pertimbangan dan strategi untuk menangkan Umno.
“Kita menyeru rakyat untuk membuka mata terhadap apa yang dilakukan SPR ini,” katanya.
EZY