OLEH ERMIZI MUHAMAD
PETALING JAYA, 18 OKT: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencemar duli menyampaikan bantuan sumbangan RM1.7 juta kepada Persatuan Kanak-Kanak Spastik Selangor dan Wilayah Persekutuan, di sini.
Sumbangan terkumpul dibuat menerusi kutipan dana daripada pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) dan individu persendirian.
Istimewanya, Sultan turut berkenan menyerahkan sumbangan RM400,000 sebagai inisiatif badan kebajikan berkenaan meneruskan khidmat komuniti sosial kanak-kanak istimewa di negeri ini.
Dalam perkembangan itu, peruntukan RM100,000 turut dikeluarkan Kerajaan Negeri menerusi serahan cek oleh Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali kepada Presiden Persatuan, Dato’ Dr Lam Peng Chong.
Sementara itu, Peng Chong dalam ucapannya merakamkan setinggi penghargaan atas bantuan sumbangan yang dilihat mampu meneruskan khidmat komuniti kepada kanak-kanak memerlukan di seluruh negeri.
Beliau berkata, khidmat bakti pihaknya diteruskan bagi memastikan kanak-kanak ini mendapat peluang sebaiknya sebagaimana kanak-kanak lain luar.
“Jumlah itu bukan sekadar angka, walau berapa banyak kosongnya di belakang jumlah itu, kami sentiasa meneruskan khidmat sosial ini kepada kanak-kanak yang cukup istimewa ini,” katanya.
Terdahulu, Sultan turut berkenan mencemar duli meluangkan masa kira-kira dua jam menyantuni dan beramah mesra bersama kanak-kanak istimewa ini.
Baginda diiringi DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.
Turut mengiringi Baginda Sultan, Dato’ Menteri Besar dan isteri Datin Seri Shamshida Taharin.
Pusat Kanak-Kanak Spastik ini sinonim sebagai sebuah pusat kebajikan yang sentiasa menjadi tumpuan masyarakat awam menerusi penglibatan badan kebajikan itu dalam perkembangan sosial kanak-kanak istimewa.
Mula beroperasi sejak 1960, pusat kebajikan ini terus optimis menyediakan perkhidmatan bantuan sosial kepada kanak-kanak istimewa khususnya di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
Bahkan, Kerajaan Negeri sebelum ini konsisten memberikan bantuan berterusan melibatkan kemudahan fasiliti dan penambahbaikan operasinya.
EZY