OLEH LIZAWATI MADFA
SHAH ALAM, 14 OKT: Selangor berjaya menambah sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada 22.6 peratus pada 2015.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, jumlah itu menunjukkan pertambahan 0.2 peratus berbanding sumbangan 22.4 peratus tahun sebelumnya.
“Selangor berjaya meningkatkan sumbangan sedangkan negeri lain seperti Sarawak dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menghadapi penurunan atau kekal dengan kadar sama seperti 2014.
“Walaupun peratusan kecil, secara keseluruhan ia adalah amat positif untuk Selangor dengan mengambil kira situasi ekonomi global ketika ini,” katanya di hadapan lebih 200 penjawat awam.
Beliau berkata demikian di Majlis Apresiasi Inovasi Peringkat Negeri Selangor 2016 di Bangunan SUK di sini, semalam.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya dan Exco Negeri, Dato’ Teng Chang Khim serta Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi.
Berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia yang dikeluarkan pada 30 September lalu, Selangor mendahului senarai enam negeri penyumbang utama KDNK 2015.
Negeri lain termasuk Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur dengan 15.1 peratus, Sarawak (10 peratus), Johor (9.3 peratus) dan Sabah serta Pulau Pinang masing-masing 6.6 peratus.
Bagi sektor pembinaan, Selangor terus unggul menyumbang 31.8 peratus berbanding WP Kuala Lumpur dengan 24.4 peratus dan Johor (12.3 peratus).
Selain itu, Selangor juga penyumbang terbesar dalam sektor pembuatan dengan sumbangan 28.9 peratus diikuti Pulau Pinang (12.8 peratus) dan Johor (12.4 peratus).
Selangor turut mendominasi sektor perkhidmatan dengan sumbangan 25.1 peratus diikuti rapat WP Kuala Lumpur dengan 24.8 peratus.
-nR-