Categories
NASIONAL

Tanya Umno jika BN menang adakah Najib kekal PM?

OLEH NAZLI IBRAHIM

MUAR, 8 OKT: Umno tidak perlu mempersoalkan siapakah bakal dipilih sebagai Perdana Menteri sekiranya pakatan pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti.

Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata Umno sepatutnya menjawab persoalan itu sama ada Datuk Seri Najib Razak kekal sebagai Perdana Menteri sekiranya BN kembali membentuk kerajaan.

“Kita nak tanya dia balik jika BN kembali tubuhkan kerajaan adakah Najib Razak kekal sebagai Perdana Menteri, itu yang kita persoalkan. Kita nak tengok apa dia jawab.

“Kalau dia kata Najib juga, tuan-tuan tahulah apa nak buat tetapi saya syorkan walau dia bagi apa nama sekalipun kita tetap tolak mereka dan kita letak kerajaan baru,” kata Mukhriz pada program Bicara Rakyat Bersatu di Pagoh, di sini malam tadi.

Jelasnya, PRU-14 merupakan satu-satunya peluang rakyat menyelamatkan negara daripada terus dirosakkan tangan tidak bertanggungjawab.

Katanya, masyarakat tidak lagi boleh mengambil sikap tidak peduli tetapi pada masa sama sentiasa merungut apabila berhadapan pelbagai isu kepentingan rakyat.

“Nak selamatkan negara, bersama-samalah kami untuk memperjuangkan masa hadapan kita lebih baik,” katanya.

EZY