OLEH ERMIZI MUHAMAD
SERI ANDALAS 11 OKT: Cadangan proses persempadanan semula yang dijalankan Suruhanjaya Pilihanraya Raya (SPR) tidak mengikut justifikasi tepat selaras kehendak Perlembagaan.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Andalas, Dr Xavier Jeyakumar, berkata proses tersebut dijalankan tanpa sebarang maklumat terperinci mengenai pelaksanaan persempadanan dan pecahan kawasan baru.
“Apa yang diambil kira oleh SPR untuk melakukan persempadanan semula ini amat diragui kerana kita sendiri tidak dimaklumkan mengenainya.
“Tiada sesiapa pun dihubungi SPR apabila mereka membuat pecahan sempadan sedangkan justifikasi untuk melakukan persempadan semula itu pun kita tidak jelas.
“Apakah yang diambil kira oleh SPR untuk melakukan persempadan dan dan buat pemecahan kawasan baru itu kita tidak tahu,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat DUN Seri Andalas, di sini.
Hadir sama, Ahli Dewan Negeri (ADN) Sri Muda, Shuhaimi Shafie yang turut membantah cadangan kawasan pilihanraya bagi Parlimen Kota Raja, Klang dan sekitarnya.
Dalam perkembangan itu, Xavier mendedahkan seramai 30,252 pengundi yang sebahagian besarnya adalah kaum India di kawasannya dibawa keluar dan dimasukkan ke kawasan DUN Kota Alam Shah.
Sementara itu, 12,885 pengundi baru yang rata-ratanya adalah 85 peratus pengundi Melayu dibawa masuk ke dalam DUN Seri Andalas yang sebelum ini mengundi di DUN Kota Alam Shah.
“Keadaan ini sekali gus menjadikan DUN Seri Andalas sebagai kawasan pengundian besar kaum Melayu.
“Isunya saya bukan bersifat perkauman, cuma persoalannya apakah justifikasi SPR membuat perubahan ini?” soalnya.
Lebih mendukacitakan katanya, pengundi dari Pelabuhan Klang yang menjadi turut dibawa keluar dan dimasukkan di kawasan pengundian baru.
Beliau berkata, keadaan itu sekaligus menyebabkan pola pecahan kaum di N49 Seri Andalas berubah secara drastik dan tidak menggambarkan komposisi kaum.
EZY