Categories
NASIONAL

Veteran Umno: Jamal memalukan, pupuk budaya samseng

SHAH ALAM, 2 OKT: Tindakan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos memilih jalan provokasi menghalang bukan sahaja mendapat kecaman netizen di media sosial, bahkan menerima reaksi kurang senang dari pemimpin veteran parti ketuanan Melayu itu.

Bekas Ketua Wanita Umno Bahagian Gopeng, Datuk Hamidah Osman menyifatkan tindakan Jamal sebagai memalukan nama parti selain memupuk budaya samseng.

Ini kerana, Hamidah berkata seorang pemimpin tidak sepatutnya mengajak pengikut mengasari program rakyat.

“Jamal adalah pemimpin Umno bahagian dan menunjukkan contoh yang tidak baik. Pada saya ini amat memalukan ketua Umno di seluruh negara kerana mempunyai rakan sejawat bertaraf samseng,” lapor portal FMT.

bersih-vs-merahHamidah berkata, Jamal sewajarnya menteladani pengalamannya yang sebelum ini juga menganjurkan tunjuk perasan, namun berlangsung tanpa provokasi pihak lain.

“Pada saya Bersih semalam menjalankan program secara aman dan sebagai rakyat Malaysia kita mempunyai hak untuk buat program asalkan tidak menyalahi undang-undang,” tambahnya.

Semalam, Bersih 2.0 mengadakan konvoi jelajah ke beberapa bandar di luar Kuala Lumpur bagi memaklumkan himpunan Bersih 5 bakal diadakan pada 19 November depan untuk menuntut pembaharuan institusi.

Bagaimanapun, perjalanan Konvoi #Bersih 5 dari Lumut ke Teluk Intan, Perak sedikit tercemar apabila kumpulan reformasi pilihan raya itu diganggu sekumpulan penyokong baju merah diketuai, Jamal.

-nR-