Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Walikota Bandung undang MB ke Bandung tinjau pelaksanaan bandar pintar

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 5 OKT: Walikota Bandung, Mochammad Ridwan Kamil mengundang Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali ke Bandung, Indonesia bagi melihat sendiri perkembangan pelaksanaan bandar pintar di bandar ketiga terbesar di Indonesia itu.

Mohamed Azmin berkata, lawatannya itu juga nanti bakal mengeratkan lagi hubungan dua hala antara Kerajaan Selangor dan Bandung.

“Saya mendapatkan beberapa maklum balas daripada Ridwan bagaimana beliau menggunakan penyelesaian pintar membangunkan Bandung dan beliau mengundang saya ke Bandung dalam masa terdekat supaya kita ada perbincangan dua hala di antara Bandung dan Selangor.

“Melalui aplikasi aplikasi ini beliau juga berjaya membangunkan budaya cukup demokratik dalam komuniti di Bandung apabila rakyat Bandung boleh berkomunikasi dengan beliau dan beliau juga menggunakan aplikasi penyelesaian pintar untuk belanjawan yang melibatkan keperluan rakyat di Bandung,” kata Mohamed Azmin.

img_20161005_132844_634Beliau berkata demikian sejurus berlangsungnya kunjungan hormat Mochammad Ridwan ke Pejabat Dato’ Menteri Besar Selangor di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, hari ini.

Jelasnya, beliau menjangkakan lawatan ke Bandung dibuat pada tahun ini iaitu menyusul lawatan kerja Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Mohamed Azmin turut percaya kejayaan menjadikan Bandung sebagai bandar pintar merupakan kejayaan luar biasa yang boleh dipelajari oleh Kerajaan Selangor dalam lawatan itu nanti.

Ketika mengulas kerjasama antara Bandung dan Selangor, Mohamed Azmin berkata Kerajaan Negeri sebelum ini sudah pun menjalinkan kerjasama dengan Bandung melalui kerjasama antara MBPJ dan pihak berkuasa di Bandung.

“Ini adalah kali kedua lawatan bapak Ridwan ke Selangor. Cuma kali ini jadualnya selama tiga hari agak padat dan saya mengambil kesempatan ini mengambil kesempatan mendengar pandangan beliau secara khusus tentang bandar pintar yang berjaya di Bandung kerana kebetulan Selangor juga meletakkan gagasan negeri pintar mulai tahun lalu,” katanya.

EZY