Categories
KENYATAAN MEDIA

Bebas Rafizi

OLEH DATUK SERI DR WAN AIZAH WAN ISMAIL

Hari ini saudara Rafizi Ramli telah dijatuhkan hukuman 36 bulan penjara, iaitu 18 bulan penjara bagi setiap pertuduhan dan ia berjalan serentak, berkaitan kes Akta Rahsia Rasmi (OSA) kerana memiliki dan mendedahkan mukasurat 98 laporan Ketua Audit Negara, yang merupakan satu dokumen OSA.

Umum difahamkan bahawa isi kandungan dokumen tersebut mengandungi maklumat berkaitan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dan keseluruhan laporan Ketua Audit Negara itu masih tertakluk di bawah OSA.

Ini merupakan satu hari yang cukup sedih buat demokrasi Malaysia, apabila seorang demokrat telah dihadapkan ke mahkamah kerana berani bersuara mempertahankan hak dan kepentingan rakyat.

NAJIB-1MDBSaya sekali lagi menggesa Dato’ Sri Najib Razak untuk menunjukkan keberanian dan membenarkan laporan penuh Ketua Audit Negara mengenai 1MDB dikeluarkan dari klasifikasi Rahsia Rasmi, lebih-lebih lagi kerana beliaulah yang mengarahkan Ketua Audit Negara mengklasifikasikan laporan tersebut di bawah OSA.

Umum dapat melihat bagaimana di negara luar, seperti Singapura, Amerika Syarikat dan Switzerland, siasatan dan tindakan mahkamah telahpun diambil terhadap beberapa orang yang mempunyai kaitan langsung dengan penyelewengan wang rakyat melalui 1MDB.

Tanpa laporan penuh Ketua Audit Negara ini, Parlimen tidak dapat membincangkan dapatan dan syor serta mengenalpasti bagaimana sejumlah wang yang sangat besar telah berjaya diseleweng beberapa pihak.

Keengganan Putrajaya untuk mengeluarkan laporan penuh Ketua Audit Negara mengenai 1MDB dari klasifikasi Rahsia Rasmi hanya akan mengukuhkan persepsi sebuah kerajaan kleptokrat yang tidak mahu kebenaran diketahui umum.

Saya yakin seluruh kepimpinan dan anggota KEADILAN berdiri teguh mempertahankan saudara Rafizi dengan penuh ukhuwah dan solidariti.

Saya mendoakan agar saudara Rafizi dan keluarga diberi kekuatan dan ketabahan untuk menghadapi dugaan yang cukup mencabar ini. Bebas Rafizi!

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail