Categories
SELANGOR SUKANKINI

Kemudahan sukan di Selangor akan ditambah baik

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 10 NOV: Perbincangan antara Kerajaan Negeri dengan pihak berkaitan akan dijalankan dalam tempoh terdekat bagi menambah baik kemudahan sukan di Selangor.

Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri merancang perkara itu selepas mengenal pasti terdapat beberapa kelemahan yang perlu diatasi.

“Dengan penuh tanggungjawab saya nyatakan antara kelemahannya adalah sistem penyampaian iaitu bagaimana projek ini dapat dilaksanakan sebaik mungkin hingga Oktober setiap tahun.

“Sehingga Oktober tahun ini, kita hanya mencapai 60 peratus daripada pengeluaran projek ekoran faktor teknikal berkenaan kelulusan senarai kuantiti (BQ) dan bagaimana kelulusan sesuatu projek itu dibuat.

“Saya rasa perlu berbincang dengan agensi pelaksana sama ada Pejabat Tanah dan Daerah, pihak berkuasa tempatan dan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM),” katanya ketika sesi penggulungan Belanjawan Negeri 2017 di Dewan Negeri Selangor (DNS), semalam.

Berkenaan kemudahan sukan, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM2.5 juta berbanding RM6.6 juta, pada tahun lalu.

Katanya, peruntukan itu akan digunakan bagi menaik taraf kemudahan asas sukan seperti gelanggang futsal dan sepak takraw.

-AA-