Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Polis Selangor rampas lebih 60,000 set komputer

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 29 DIS: Polis Selangor merampas lebih 60,000 set komputer bernilai hampir RM48.5 juta menerusi 4,828 serbuan, sejak awal tahun.

Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat berkata, operasi itu menyaksikan 4,438 individu yang bertindak sebagai pengurus pusat perjudian ditahan bagi tujuan pendakwaan selain RM424,118 wang tunai turut dirampas.

Katanya, 1,473 kaki judi turut ditahan dalam tempoh itu bagi siasatan selanjutnya selepas pihaknya melakukan 34,109 pemeriksaan.

polis2“Ada pihak mempertikaikan mengapa pemeriksaan dilakukan lebih banyak berbanding kejayaan membanteras perjudian. Sindiket perjudian mempunyai rangkaian bukan sahaja di seluruh daerah, namun di setiap negeri seluruh negara.

“Apabila operasi dibuat, rangkaian mereka pantas menyalurkan maklumat dan dalam beberapa minit premis judi dihentikan operasi seketika,” katanya memetik Sinar Harian.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelupusan Barang Kes Mesin Perjudian Komputer IPD Subang Jaya di Depoh Tunda Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) TP2, Subang Jaya, semalam.

Abdul Samah menggesa penambahbaikan ke atas undang-undang sedia ada atau yang dikhususkan untuk menangani perjudian dalam talian.

“Hukuman penjara mandatori bukan sahaja perlu dikenakan terhadap pihak menjalankan operasi tetapi juga pemilik premis kerana mereka tahu ia disalah guna, namun gelap mata dengan peratus keuntungan dijanjikan penyewa.

“Jika terbukti bersalah, premis akan disita dan saya yakin jika ini dilaksanakan, tiada pemilik berani menyewakan premis untuk kegiatan perjudian,” katanya.

-NFN-