Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Prosedur terlalu lama punca hartanah wakaf belum daftar MAIS

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 29 DIS: Prosedur yang lama bagi pindah milik tanah wakaf daripada geran bersama kepada milik Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyebabkan hartanah wakaf belum didaftarkan atas nama MAIS.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Wakaf Selangor (PWS), Abu Bakar Yang berkata, prosedur terbabit merupakan salah satu sebab PWS ditegur dalam Laporan Ketua Audit Negara 2014 bagi pengurusan hartanah wakaf kurang memuaskan.

“Dalam maklum balas PWS pada September 2015, sebanyak 14 permohonan selesai dipindah milik dan 26 lagi masih belum diselesaikan kerana memerlukan tindakan PWS, pewakaf serta pejabat tanah dan daerah.

PERBADANAN WAKAF SELANGOR (PWS)“Proses penukaran hak milik kebanyakannya berlarutan sehingga enam bulan, oleh itu pengurusan hartanah tidak dapat dilakukan kerana masih milik pewakaf,” katanya di taklimat Jawantuakuasa Kira-Kira Wang Selangor (PAC), di sini, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, PWS sentiasa mencari mekanisme terbaik bagi menangani masalah itu secara efektif dan status terkini daripada 40 sampel audit itu hanya tinggal 14 tanah belum diselesaikan.

“Ia termasuk 12 daripadanya sudah diterima hak milik asal baru-baru ini dan kini dalam proses pindah milik ke atas nama MAIS.

“Manakala, satu lagi dalam tindakan penyerahan pemberi milikan kepada MAIS kepada Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Sabak Bernam.

“Satu tanah lagi menjadi isu dengan PTD Sabak Bernam kerana tidak mengiktiraf proses pemberi milikan semula tanah yang diwakafkan individu kerana PTD itu mahu menjadikan tanah itu sebagai tanah kerajaan,” katanya.

Terdahulu, hasil pengauditan mendapati, data daftar hartanah wakaf tidak lengkap dan tidak kemas kini dengan 27.5 peratus hartanah wakaf masih belum didaftarkan hak milik MAIS.

Sebanyak 87.6 peratus daripada hartanah wakaf yang sudah didaftarkan sebagai hak milik MAIS tidak diwartakan, manakala 75.3 peratus masih belum dimanfaatkan.

Sementara itu, Pengerusi PAC, Ng Suee Lim berpuas hati dengan respon yang diberikan PWS dalam taklimat terbabit.

Beliau berharap, PWS mencari mekanisme yang baik bagi menyelesaikan isu itu dan objektif PWS untuk mengemaskini tanah wakaf di Selangor berjalan dengan baik.

-NFN-