Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Exco Pertanian turun padang, basmi habitat Aedes

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KEPONG, 7 JAN: Walaupun memegang porfolio Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Exco Zaidy Abdul Talib turun padang bersama penduduk Kampung Baru Kepong Ulu, di sini, membersihkan habitat nyamuk Aedes, hari ini.

Komited memastikan persekitaran di kawasan pinggir bandar bersih dan bebas daripada wabak denggi, Zaidy berkata, tanggungjawab untuk menjaga kebersihan perlu digalas seluruh anggota masyarakat.

“Semua rakyat perlu bersama membersihkan kawasan kediaman masing-masing dan mengambil tanggungjawab untuk lebih peka terhadap isu kebersihan persekitaran.

zaidy-gotong-royong-5“Saya difahamkan banyak kes denggi juga berlaku di kawasan luar bandar kerana habitat ini tidak memilih kawasan kerana jika ada tempat kotor dan berpotensi, nyamuk ini akan membiak, sekali gus mengundang wabak denggi dan penyakit,” katanya pada Majlis Perasmian Program Gotong-Royong Perdana itu.

Program dengan kerjasama Parlimen Selayang dan Pusat Khidmat Dun Taman Templer itu dilaksanakan sebagai inisiatif untuk memberi kesedaran kepada penduduk terhadap isu kebersihan setempat.

Seramai lebih 100 penduduk setempat tidak melepaskan peluang bersama hadir membersihkan persekitaran taman ke arah menjadikan kawasan penempatan penduduk lebih ceria, bersih dan bebas denggi.

Terdahulu, Kerajaan Negeri menerusi Exco Kebajikan, Kesihatan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga komited melaksanakan pelbagai program untuk memerangi wabak denggi di negeri ini.

Bahkan, peruntukkan RM10,000 juga disalurkan kepada Pusat Khidmat DUN seluruh negeri untuk menjayakan program bertujuan memupuk kesedaran masyarakat terhadap bahaya denggi.

Dalam perkembangan lain, Zaidy yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Templer turut menyampaikan bantuan Skim Mesra Usia Emas (SMUE) fasa satu kepada 10 penerima dan waris keluarga.

-NFN-