Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Hapus GST jika pembangkang berkuasa

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 15 JAN: Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) akan dihapuskan sekiranya parti gabungan pembangkang menerajui pentadbiran negara selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, cukai menekan rakyat itu akan digantikan dengan cukai jualan dengan kadar yang sesuai dengan kemampuan rakyat.

“GST akan dihapuskan secara beransur-ansur dan diganti dengan cukai jualan mengikut selera rakyat,” kata beliau dalam ucapan perasmian Majlis Pelancaran PPBM di Stadium Tertutup Malawati, di sini, semalam.

BERSATU (9)Selain itu, Dr Mahathir turut menggariskan untuk mengembalikan Malaysia sebagai negara demokratik yang menghormati pemerintahan mengikut undang-undang iaitu menjadikan rakyat kembali bebas melapor dan mendakwa siapa sahaja termasuk pemimpin kerajaan jika terdapat salah laku atau perbuatan jenayah melibatkan mereka.

Katanya, kerajaan baru itu juga tidak akan mengamalkan pilih kasih dalam menguatkuasakan undang-undang negara dan pendakwa raya tidak boleh memasukkan tuduhan serta laporan orang awam atau agensi kerajaan dalam Akta Rahsia Rasmi (OSA) untuk melindungi jenayah seseorang.

“Kebebasan bersuara dan kebebasan media melapor kebenaran akan dijunjung kerajaan baru. Walaupun demikian, keselamatan dan keamanan masyarakat juga negara akan diambil kira mengikut kehendak rakyat.

“Kebebasan berpolitik juga akan dihormati kerajaan parti campuran pembangkang,” katanya.

Dr Mahathir turut mencadangkan beberapa langkah bagi memulihkan ekonomi negara seperti langkah mempertahankan nilai ringgit tanpa penjualan dolar Amerika Syarikat (AS).

“Akan kita cipta cara lebih berkesan untuk pemulihan nilai matawang supaya tidak menekan rakyat terutama yang mempunyai anak belajar di luar negara,” katanya.

Pembelian tanah secara besar-besaran oleh warga asing dengan tujuan menempatan orang mereka akan diteliti daripada segi kesan terhadap masa depan politik negara.

-NFN-