Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kemudahan infrastruktur Selangor 2017 sarat elemen Smart State

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KEPONG, 7 JAN: Pembangunan kemudahan infrastruktur negeri untuk tempoh 2017 mengutamakan penggunaan sistem dan teknologi berteraskan agenda Smart State demi kelangsungan serta kemudahan rakyat.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, penggunaan teknologi yang mencapai tahap ‘Smart State’ akan dilaksanakan secara menyeluruh seiring hasrat Kerajaan Negeri menjadikan Selangor sebagai Smart State, menjelang 2025.

Beliau berkata, usaha itu dijalankan bersama agensi Jabatan Pengairan Selangor dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri menerusi usahasama Menteri Besar Incoporation (MBI) dan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU).

ybzaidy-2“Kerajaan Negeri teruja untuk menyediakan peluang itu menerusi penggunaan teknologi mampan yang kita ada sebagai ‘platform’ yang boleh diberikan kepada rakyat Selangor mencakupi aspek pembangunan infrastruktur negeri.

“Antara pendekatan dan tumpuan yang sedang diberi perhatian termasuk gerak kerja untuk melaksanakan sistem pemantauan sungai secara langsung, sistem hidrologi dan smart traffic light,” katanya kepada SelangorKini, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga sedang menjalankan perbincangan bersama agensi Kerajaan Negeri lain untuk menyediakan garis panduan menilai pelaksanaan dasar yang dijalankan sepanjang 2016.

Katanya, perbincangan tersebut dijalankan bagi mengenalpasti sebarang gerak kerja yang memerlukan pembaikan demi kesejahteraan masyarakat Selangor.

zaidy-gotong-royong-1Terdahulu, Zaidy yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Templer ditemui pada Program Gotong-Royong Perdana peringkat Jawatankuasa Kampung Baru Kepong Ulu..

Pada masa sama, program dengan kerjasama Parlimen Selayang dan Pusat Khidmat Dun Taman Templer itu dilaksanakan sebagai inisiatif untuk memberi kesedaran kepada penduduk terhadap isu kebersihan setempat.

Lebih 100 penduduk setempat tidak melepaskan peluang hadir membersihkan persekitaran taman ke arah menjadikan kawasan penempatan penduduk lebih ceria, bersih dan bebas denggi.

-NFN-