Categories
NASIONAL

MP cadang JPM tubuh jabatan bantu kaum India

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 21 FEB : Putrajaya disaran menubuhkan jabatan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang memberi tumpuan terhadap kebajikan masyarakat India di negara ini.

Ahli Parlimen Kapar, Manivanan Gowin berkata, pentadbiran Putrajaya didakwa tidak mempunyai kesungguhan menyelesaikan kemelut masyarakat India khususnya berkait isu kuil dan kebajikan kaum itu di Malaysia.

“Kegagalan dan ketidaksungguhan Kerajaan Barisan Nasional dalam mengurus dan mentadbir semua kuil di Malaysia di bawah satu badan untuk menyelaras dan menyelesaikan masalah – masalah berbangkit, adalah punca sebenar wujudnya pelbagai masalah kuil – kuil di Malaysia.

“‘Sewajarnya, satu jabatan di bawah Jabatan Perdana Menteri wajib diwujudkan untuk menyelesaikan semua masalah berkaitan kuil.

Manivanan-Gowin-4a“Perakaunan, pengurusan, pentadbiran, isu tanah dan bantuan dana kuil – wajib dikawal selia oleh Kerajaan Persekutuan yang prihatin, bebas daripada fahaman dan ideologi politik,” katanya dalam kenyataan.

Sebaliknya katanya, kebajikan masyarakat India kini lebih terbela di bawah pentadbiran negeri-negeri ditadbir Kerajaan Pakatan.

“Ini dapat dibuktikan dengan sejarah baru yang dicipta di Pulau Pinang oleh Lembaga Wakaf Hindu Negeri Pulau Pinang dan Jawatankuasa Kuil Sri Arulmigu Balathandayuthapani.

“Sejarah dan model ketelusan ini wajar diterap dan dipraktik semua jawatankuasa kuil di Malaysia,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan peruntukan sebanyak RM150 juta dalam Bajet 2017 bagi pembangunan masyarakat India seluruh negara.

Bagaimanapun, sehingga kini nasib kaum India masih berada di takuk lama antaranya masalah penempatan, milikan warganegara dan isu kemiskinan.

-nR-