Categories
SELANGOR

Noh patut minta maaf bagi pihak Jamal, bukan sokong

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 16 FEB: Tindakan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar, yang juga berjawatan menteri menyokong Datuk Seri Jamal Md Yunus adalah tidak masuk akal dan amat dikesali.

Pengarah Komunikasi, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Muhammad Naqib Nasaruddin berkata, sebagai seorang Islam, Noh sepatutnya lebih peka kepada sensitiviti agama dan masyarakat kerana van jenazah dan keranda bukan sesuatu yang boleh dipersendakan.

Katanya, respon Ahli Parlimen Tanjong Karang itu juga dilihat mengganggu kesejahteraan dan kemakmuran Selangor.

VAN JENAZAH“Saya berasa amat kesal apabila Noh menyokong tindakan membawa van jenazah dan keranda berdemo di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) malah boleh menyifatkan tindakan itu bersesuaian.

“Adakah beliau begitu lemah untuk menegur salah laku Jamal sehingga terpaksa menyokong tindakan tidak bertanggungjawab itu,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, Muhammad Naqib menggesa Noh memohon maaf bagi pihak Jamal diatas ketelanjurannya mempermainkan sensitiviti agama.

“Saya juga mencabar Umno Selangor untuk mengambil tindakan tegas terhadap Jamal,” katanya.

Semalam, Pengarah JAIS, Datuk Haris Kasim mengumumkan siasatan awal mendapati terdapat unsur manipulasi dan mengambil kesempatan dilakukan Jamal terhadap pengurusan masjid.

Pihak Jamal didakwa menghubungi masjid untuk menyewa van jenazah bagi sesi penggambaran, kempen anti judi, pameran dan lain-lain.

“Tindakan individu tidak bertanggungjawab ini mencemar kemuliaan institusi masjid,” kata Haris.

-nR-