Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

150,000 pengundi bakal sesat waktu mengundi PRU14?

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 14 MAC : Sekitar 150,000 pengundi tidak mengetahui lokasi sebenar pusat pengundian masing-masing selepas lokasi pengundian mereka ditukar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjelang Pilihan Raya Umum (PRU14), depan.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata demikian merujuk kepada tindakan SPR membangkitkan bantahan pendaftaran pemilih membabitkan pengundi-pengundi baru di Malaysia.

“SPR menyebabkan 150,000 pengundi akan sesat sewaktu hari pengundian selepas mereka ditukar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen berlainan.

“Tidak mungkin kita akan merelakan apa yang mahu diteruskan ketika penipuan menjolok mata ini berlaku,” kata pada sesi perbahasan di Dewan Rakyat, hari ini.

Nurul Izzah berkata, cubaan manipulasi SPR hanya akan menimbulkan keraguan terhadap integriti suruhanjaya itu di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Ketagihan rasuah kini melanda sistem pilihan raya negara apabila Perdana Menteri merasuah sistem ini yang akhirnya menjejaskan kredibilitinya.

“Ini dibuktikan menerusi saman yang sedang berlangsung mengaitkan SPR,” kata Naib Presiden KEADILAN itu merujuk kes prosiding saman Kerajaan Selangor terhadap SPR.

Terdahulu, SPR memanggil individu pemilih baru bagi memberi keterangan kepada suruhanjaya itu pada Sesi Pendengaran Siasatan Awam.

Mereka semua diminta hadir berkaitan pendaftaran semula alamat baru yang didakwa wujudnya ‘alamat tidak dikenali’ pengundi di kawasan terbabit.

=EZY=