Categories
SELANGOR

45 Klinik 1Malaysia vs 1,000 klinik Skim Peduli Sihat

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 29 MAC: Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Damansara, Halimaton Saadiah Bohan dinasihatkan supaya tidak terlalu jauh melencong dan segera ‘kembali’ ke Selangor ketika berbahas.

Nasihat itu diberikan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim apabila Halimaton mengambil masa panjang bercakap mengenai Klinik 1Malaysia.

“Klinik 1 Malaysia ada 45 klinik kalau nak dibahagikan untuk 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pun masih tak cukup lagi tetapi kita sekarang di Selangor yang ada 1,000 klinik terlibat dengan Skim Peduli Sihat (SPS) Kerajaan Negeri.

“Inilah yang dikatakan hanya nampak semut di seberang tetapi gajah di depan mata tak nampak. Cukuplah, ‘pulanglah semula ke Selangor,” kata Chang Khim.

Beliau berkata demikian ketika mencelah perbahasan Halimaton yang sedang membahaskan usul menyembah ucapan terima kasih dan menjunjung kasih ke atas titah ucapan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor di Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Jelasnya, ADN wajar memberikan fokus ucapan masing-masing kepada titah ucapan DYMM Sultan Selangor ketika berbahas.

Saranan itu disambut baik Halimaton sambil menyatakan beliau terpaksa menjelaskan isu Klinik 1 Malaysia ekoran terdapat dakwaan Klinik 1 Malaysia sebagai ‘klinik panadol’.

=EZY=