Categories
SELANGOR

Anugerah Sukan Selangor, tawar insentif RM25,000

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 21 MAC : Atlet cemerlang berjaya mengharumkan Selangor di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dirai dalam Majlis Anugerah Sukan Negeri Selangor (ASNS) 2015-2016, 31 Mac ini.

Bertempat di Hotel Concorde, Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, acara tahunan itu diadakan sebagai motivasi dan pemangkin semangat kepada atlet baru untuk meningkatkan kualiti bagi mengharumkan nama negeri ke peringkat tertinggi.

“Antara bojektif penganjuran ini adalah sebagai tanda penghargaan kepada ahli sukan yang mengharumkan nama negeri serta mencapai kejayaan cemerlang dalam acara sukan negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

AMIRUDIN SHARI“Ia juga bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara penggiat sukan dengan wakil-wakil media dalam membantu menaikkan semangat atlet-atlet.

“Selain itu, objektifnya bagi mempertemukan atlet-atlet baru dan bekas atlet di sampIng dapat bertukar-tukar pendapat dan idea dalam mempertingkatkan kualiti diri dalam perkembangan sukan tanah air,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media ASNS di Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor yang turut dihadiri Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN), Zubir Idrus.

Dalam perkembangan sama, Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah dijangka berkenan mencemar duli menyempurnakan majlis penganugerahan.

ASNS tahun ini mempertaruhkan lapan kategori utama, antaranya Anugerah Olahragawan dan Olahragawati, Anugerah Olahragawan dan Olahragawati Harapan, Anugerah Tokoh Kepimpinan Sukan, Anugerah Pasukan Terbaik, Anugerah Jurulatih Terbaik dan Anugerah Khas.

Pemenang bakal menerima insentif kemenangan wang tunai antara RM3,000 dan RM5,000 dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM25,000 beserta trofi.

-nR-