Categories
GLOBAL

Apa yang berlaku DUNIA hari ini?

Berikut adalah rumusan dan rangkuman berita antarabangsa sehingga jam 11.00 pagi 21 MAC 2017 seperti dilaporkan agensi berita antarabangsa:

1. SEOUL: Presiden Korea Selatan yang dipecat, Park Geun-hye melaporkan diri kepada pendakwa raya untuk soal siasat membabitkan skandal rasuah dan salah guna kuasa yang membawa kepada kejatuhannya. – AFP

2. WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) dijangka mengharamkan peranti elektronik seperti komputer riba dan kamera dalam penerbangan dari hampir 12 negara Asia Barat, menurut dua sumber syarikat penerbangan di rantau itu serta beberapa laporan media. – AFP

3. KUALA LUMPUR: Pengeluar pesawat berpangkalan di Perancis, Airbus, mengunjurkan kumpulan pesawat di Asia Pasifik meningkat kepada lebih 15,000 daripada 6,000 ketika ini dalam tempoh 20 tahun akan datang.- BERNAMA.

4. KUALA LUMPUR: Malaysia menimbang untuk menaik taraf armada tentera lautnya, ketika negara-negara di rantau ini bersedia untuk menghadapi ancaman daripada kemasukan militan IS yang melarikan diri dari Mosul, dan juga ketegangan yang meningkat di Laut China Selatan.

Perbelanjaan Pertahanan di rantau Asia Pasifik dijangka mencecah AS$250 bilion dari 2016-20, kata IHS Janes Defence Weekly pada bulan Disember, dan Malaysia berhasrat untuk meningkatkan keupayaan bersama negara-negara lain di Laut China Selatan yang menjadi rebutan, walaupun dengan bajet pertahanan yang sempit. – REUTERS

5. LIMA – PERU. Pemanasan luar biasa kawasan perairan Pasifik di luar Peru secara tiba-tiba, membawa hujan lebat terburuk dalam tempoh beberapa dekad, selain menyebabkan kejadian tanah runtuh, aliran sungai sangat deras, banjir lumpur yang menyekat laluan dan memusnahkan tanaman di bawah tanda corak fenomena El Nino luar biasa pada tahun ini.

Menurut pihak berkuasa, sekurang-kurangnya 75 terkorban manakala 263 cedera dan lebih 70,000 hilang tempat tinggal selepas negara itu dilanda musim tengkujuh dengan taburan hujan 10 ganda lebih tinggi berbanding biasa. – AGENSI

6. CANBERRA – AUSTRALIA. Nombor telefon peribadi sebahagian besar ahli politik Australia secara tidak sengaja diterbitkan dalam talian, lapor Fairfax Media.com. Antara nombor telefon peribadi yang terpapar pada laman web kerajaan termasuk nombor telefon bekas perdana menteri negara itu. – FAIRFAX

7. PYONGYANG: Korea Utara mengumumkan negara itu tidak gentar dengan sebarang serangan daripada pihak Amerika Syarikat dan sekutunya yang mahu menghentikan sebarang perkembangan ujian senjata nuklear – AL-JAZEERA

8. NEW YORK: Norway mengatasi Denmark apabila muncul sebagai negara paling gembira di dunia dalam laporan terbaru yang mengkehendaki semua negara membina kepercayaan sosial dan kesamaan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat. – REUTERS

9. SUDAN: Pesawat komersial yang membawa 43 penumpang membuat pendaratan cemas dalam cuaca buruk. 25 daripadanya dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut – CNN

10. TURKI: Menteri Luar Turki Mevlut Cavusolu menggambarkan visi Turki untuk menjadikan pulau Cyprus ke dalam benteng keamanan dan kestabilan dalam pendapatnya kepada Washington Times. ANADOLU POST

11. SAN FRANCISCO: Pengasas Microsoft Bill Gates dinobatkan sebagai individu terkaya dunia dalam senarai terkini diumumkan majalah The Forbes. Kekayaan Bill Gates berkembang dianggarkan $75 billion pada tahun lalu kepada $86 billion pada 2017.

DISEDIAKAN OLEH: MOHD EZLI MASHUT