Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Azmin: Jangan biar wilayah integriti Malaysia diceroboh

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri perlu memberikan penjelasan berhubung laporan terdapat aset ketenteraaan kuasa besar asing di dalam wilayah perairan negara.

Ahli Parlimen Gombak, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, penjelasan itu penting kerana ia membabitkan keselamatan dan geo-politik negara.

“Kerajaan perlu memberikan penjelasan adakah benar kehadiran aset ketenteraan kuasa besar asing ini dan apakah kehadirannya sah sebagai sekutu strategik Malaysia?” katanya.

azmin-parlimenBeliau yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor berkata demikian ketika menyertai sesi perbahasan Menjunjung Kasih Titah Seri Paduka Yang Dipertuan Agong, di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam ucapan sama, beliau turut mendesak Kerajaan Persekutuan menyatakan status sebenar Kepulauan Spratley yang disebut mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad bahawa ia dalam wilayah Malaysia.

“Pada hari ini, Kerajaan Persekutuan menyepikan diri mengenai status pulau ini. Apakah kita mahu negara China memasuki Malaysia, maka kita sanggup mengorbankan kedaulatan wilayah yang dipertahankan sejak sekian lama.

“Sekali lagi, kementerian bertanggungjawab untuk memastikan kedaulatan negara termasuk Pulau Spratley kerana ia wilayah integriti Malaysia,” katanya.

-NFN-