SHAH ALAM 23 MAC: Ahmad Fazli Sham tekad memberi aksi terbaik untuk memburu podium disamping membantu pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor mempertahankan gelaran pasukan terbaik.
Ia bagi mencapai keputusan terbaik dalam kelas perdana CP150 menjelang saingan Pusingan 2 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di litar baharu, Litar Lumba Tangkak, Johor pada 24 dan 25 Mac ini.
Naib juara CP130 musim lepas memilih untuk hanya beraksi dalam saingan Kejuaraan Cub Prix bersama rakan sepasukan, Kasma Daniel Kasmayudin dan Abd Muhaimin Roslan berbanding turut beraksi dalam saingan Underbone di Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) pada musim lepas.
Ini membolehkan pelumba berpengalaman yang juga juara dua kali Expert 2007 dan 2008 itu memberi tumpuan sepenuhnya dalam saingan tempatan manakala tugas di dalam saingan ARRC digalas dua pelumba muda, Haziq Fairuz dan Akid Aziz.
“Saya telah beraksi dalam era dua lejang dan kemudian beralih ke era empat lejang. Sepanjang belasan tahun beraksi dalam kejuaraan ini, saya telah memenangi perlumbaan dengan menggunakan jentera Yamaha SS, Yamaha 125Z, Yamaha Lagenda dan kini Yamaha Y15ZR.
“Banyak perbezaan dengan jentera 150cc ini jika dibandingkan dengan jentera terdahulu terutama dari segi teknologi dan pelarasan jentera, dan banyak perkara yang perlu saya pelajari,” jelas Fazli.
Tambah Fazli, namun bukan itu sebab kenapa dia hanya beraksi di dalam Cub Prix sahaja pada musim ini.
“Kasma menggalas tugas berat apabila beraksi dalam saingan Cub Prix dan juga di Kejuaraan CEV Sepanyol. Kemungkinan dia akan terlepas beberapa pusingan perlumbaan Cub Prix dalam usahanya untuk meraih kejuaran kelas perdana buat tahun kedua berturut-turut.
“Hanya saya dan Muhaimin akan bersaing untuk mengutip mata kejuaraan berpasukan ketika ketiadaan Kasma dan kami perlu mengutip seberapa banyak mata.
Strategi kami adalah memberi keutamaan untuk mengejar kedudukan berpasukan di dalam kelas CP150 ini,” jelas Fazli yang memulakan saingan musim ini dengan meraih tempat kedua di Temerloh, Pahang awal Mac lalu.
=EZY=