Categories
NASIONAL

DAP bukan anti Islam

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 27 MAC: Pelaksanaan hukum hudud di Malaysia tidak disokong DAP ekoran tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan.

Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook berkata, walaupun DAP menolak pelaksanaannya tetapi parti itu tidak pernah bersikap anti Islam seperti digambarkan Umno-Barisan Nasional dan parti komponennya, MCA juga Gerakan.

“Perbezaan antara DAP dengan MCA dan Gerakan ialah walaupun kami tidak setuju dengan pelaksanaan hudud, kami menggunakan hujah berhemah dan tidak pernah memburukkan hukum Islam untuk menakutkan masyarakat bukan Islam.

ANTONY LOKE“MCA dan Gerakan pula cuba membentuk persepsi buruk terhadap hukum Islam dan mewujudkan perasaan Islamphobia dalam kalangan masyarakat bukan Islam di Malaysia, namun DAP yang diserang Umno juga PAS sebagai anti Islam,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Loke berkata demikian merujuk kenyataan Setiausaha Agung Gerakan dan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Liang Teck Meng, yang mendesak beliau memohon maaf secara terbuka kerana didakwa menyokong pelaksanaan hukum hudud dalam satu ceramah sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) dan rakaman videonya ditularkan, baru-baru ini.

Beliau berkata, pendiriannya dan DAP nyata tidah berubah serta sama ketika parti itu bekerjasama dengan PAS dalam PAKATAN.

“Hudud juga bukan agenda dan tidak pernah dipersetujui sebagai dasar bersama PAKATAN.

“Saya menegaskan dalam ucapan saya bahawa hudud bukan agenda dan dasar bersama PAKATAN. Ia bukan pertimbangan dalam PRU-13 tetapi propaganda MCA dan Gerakan apabila sengaja memutar belitkannya dengan menularkan beberapa perkataan sahaja ” katanya.

Beliau berkata, DAP memutuskan hubungan dengan PAS kerana parti Islam itu melanggari dasar bersama PAKATAN dalam isu hudud.

“Saya ingin bertanya kepada Liang Teck Meng sama ada Gerakan bersedia memutuskan hubungan dengan Umno dan keluar daripada BN jika Umno melanggari konsesus BN dengan mengambilalih usul persendirian RUU355 dalam persidangan kali ini?

“Kenyataan beliau adalah cubaan untuk mengalih perhatian terhadap kegagalan MCA dan Gerakan untuk memastikan kerajaan untuk tidak mengambilalih usul berkenaan,” katanya.

-NFN-