OLEH NAZLI IBRAHIM
SHAH ALAM, 16 MAC: Ahli Dewan Negeri (ADN) Selangor disarankan meningkatkan lagi penggunaan Bahasa Melayu semasa berhujah dalam persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS).
Perkara itu dibangkitkan Pengerusi Wadah Selangor, Nik Mohd Yusoff Nik Ismail, ketika menyertai sesi soal jawab pada Seminar Antara Budaya: Ilmu, Agama – Idealogi dan Bahasa anjuran Institut Darul Ehsan (IDE) di Auditorium IDE di sini, semalam.
“Saya kira lebih bagus sekiranya Ahli Yang Berhormat yang mahu menggunakan ungkapan Bahasa Inggeris di dalam dewan bukan sahaja berkata ‘dengan izin’ tetapi perlu juga nyatakan dalam Bahasa Melayu dahulu dan selepas itu barulah meminta ‘dengan izin’ dan diikuti ungkapan dalam Bahasa Inggeris untuk menguatkan lagi atau memperkayakan hujahnya,” katanya.
Sementara itu, ADN Hulu Kelang, Saari Sungib ketika mengulas isu sama, menyifatkan ia cadangan yang baik untuk memperkasakan lagi penguasaan Bahasa Melayu dalam kalangan Ahli DNS.
“Ini cadangan yang baik dan saya akan praktikan bila dewan bersidang selain menguar-uarkan kepada rakan lain supaya mereka juga mengambil langkah sama,” katanya ketika ditemui SelangorKini pada seminar sama.
Jelasnya, selain mampu memartabatkan Bahasa Malaysia, amalan itu sedikit sebanyak turut meningkatkan penguasaan ADN untuk berkomunikasi dalam bahasa Malaysia.
-nR-