Categories
EKONOMI

Harga minyak mentah dunia terus susut

NEW YORK 15 MAC: Harga minyak Amerika Syarikat (AS) terus susut semalam selepas OPEC melaporkan peningkatan dalam stok minyak mentah global dan peningkatan pengeluaran yang mengejutkan daripada negara ahli terbesarnya, Arab Saudi.

Agensi Berita Antarabangsa REUTERS melaporkan ia meningkatkan lagi tekanan harga sejak OPEC mengumumkan pengurangan pengeluaran pada November lalu.

Walaupun OPEC telah membuat peningkatan semakan terhadap jangkaan permintaan global, isyarat pengeluaran oleh Arab Saudi yang masih tinggi mengelirukan pelabur.

Minyak mentah AS jatuh ke paras terendah sejak 29 November, sehari sebelum Arab Saudi mengetuai negara OPEC untuk mengurangkan bekalan. Brent juga ditutup pada paras terendah sejak 30 November lalu.

Niaga hadapan Brent susut di bawah purata bergerak 200 hari untuk pertama kali sejak akhir November lalu semasa dagangan semalam.

Ia ditutup susut 43 cents atau 0.8 peratus kepada AS$50.92 setong. West Texas Intermediate AS susut 68 cents, atau 1.4 peratus kepada AS$47.72 setong untuk penurunan hari ketujuh berturut-turut, kerugian terpanjang sejak Januari lalu. Ia susut hampir 11 peratus sejak 3 Mac lalu.

Sumber menyatakan pengeluaran minyak Arab Saudi susut pada Februari kepada 9.797 juta tong sehari tetapi Riyadh memberitahu OPEC ia meningkat kepada 10.011 juta tong sehari.

Dalam usaha untuk menghilangkan kebimbangan pasaran, Kementerian Tenaga Arab Saudi berkata perbezaan antara apa yang dipantau oleh pasaran sebagai pengeluaran dengan sebarang paras bekalan dalam bulan tertentu adalah disebabkan faktor operasi.

“Ia dipengaruhi oleh penyesuaian simpanan dan faktor tidak tetap yang lain,” katanya.

Laporan bulanan OPEC mendapati bekalan minyak di negara industri meningkat pada Januari kepada 278 juta tong melelbihi purata lima tahun dengan bekalan minyak syal AS dan negara bukan ahli OPEC yang lain terus meningkat.

=EZY=