SHAH ALAM 22 MAC: Wall Street Journal (WSJ) melaporkan pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) bersedia mendakwa Low Taek Jho, atau Jho Low, yang dinamakan Jabatan Kehakiman AS (DOJ) tahun lalu dalam kertas siasatan salah guna wang 1Malaysian Development Berhad (1MDB).
WSJ memetik sumber di Singapura berkata pasukan DOJ baru-baru ini selesai melakukan soal siasat di republik itu dalam persediaannya mendakwa Jho Low.
Pada 20 Julai, DoJ menerusi siasatannya mendapati lebih AS$3.5 bilion dilencongkan daripada dana 1MDB, syarikat milik Kementerian Kewangan yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 2009.
DoJ memfailkan saman sivil di Los Angeles untuk merampas sejumlah AS$1.2 bilion aset yang dibeli dengan dana didakwa digelapkan daripada 1MDB dan dipindahkan ke AS menggunakan syarikat kosong, dan menamakan beberapa individu.
Selain Jho Low, saman itu turut menamakan anak tiri Najib, Riza Aziz, dan pegawai kerajaan Abu Dhabi Khadem al-Qubaisi dan Mohamed Ahmed Badawy Al-Husseiny.
DOJ baru-baru ini berusaha memasukkan beberapa harta milik keluarga Jho Low ke dalam senarai aset yang mahu disitanya.
Ia termasuk kapal layar mewahnya, Equanimity, bernilai AS$165 juta (RM730 juta). Ahli keluarganya kini terlibat dalam proses mahkamah melawan tindakan DOJ itu.
=EZY=