Categories
SELANGOR

Keluarga Paderi Koh: Jangan alih tumpuan tangkap ‘penculik sebenar’

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 13 MAC: Tangkapan terhadap ‘penculik sebenar’ membabitkan kes kehilangan Paderi Raymond Koh perlu dijalankan walaupun tangkapan seorang individu berkaitan kes itu sudah dibuat, baru-baru ini.

Isteri Koh, Susannan Liew berkata, tumpuan terhadap pesalah sebenar perlu dibuat tanpa wujudnya sebarang cubaan untuk mengalihkan tumpuan sebenar kes berkenaan.

“Saya merujuk kepada penahanan suspek polis pada awal pagi Khamis, 9 Mac lalu. Memandangkan, pihak polis menyebut kami, pihak keluarga, dalam kenyataan umum mereka berhubung perkara ini, saya ingin menjelaskan fakta daripada pihak keluarga.

paderi koh“Beberapa mesej teks dihantar kepada telefon bimbit anak saya Jonathan yang mencurigakan dan bersifat ugutan. Pada hari Rabu, 8 Mac lalu, Jonathan memaklumkan kepada polis berkenaan mesej ini yang kemudiannya bertindak pantas hingga membawa kepada penangkapan itu.

“Walaupun saya gembira bahawa polis bertindak pantas, namun saya berharap penangkapan itu tidak mengalihkan tumpuan daripada penculik sebenar dan rakan mereka atau sehingga tidak menggalakkan pemberi maklumat tulen untuk tampil,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan sempena satu bulan kehilangan suaminya, lapor portal berita MalaysiaKini.

Awal bulan lalu dilaporkan, Raymond, 62, diculik sekumpulan lelaki bertopeng kurang 100 meter dari kompleks perumahan polis.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat Khamis lalu berkata, seorang lelaki berusia 32 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Media melaporkan, lelaki terbabit menuntut RM30,000 sebagai nilai tebusan pembebasan Koh.

-NFN-