Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Malaysia dijamin bebas jerebu tahun ini

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 3 MAC: Malaysia dijamin bebas daripada ancaman jerebu tahun ini, berdasarkan indikasi cuaca, corak angin dan tindakan dirangka dalam memadam kebakaran hutan, kata Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar itu berkata, laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menunjukkan fenomena El Nino dan La Nina yang membawa hujan serta kepanasan melampau tidak akan berlaku tahun ini.

Katanya, ia dibantu keadaan neutral di Lautan Hindi yang dijangka berterusan sehingga akhir tahun.

“MetMalaysia juga melaporkan tiada perkara (cuaca) abnormal akan berlaku seperti terjadi, pada 2014 dan 2015 yang mendorong berlakunya jerebu.

“Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga akan mengambil tindakan drastik menghalang masyarakat melakukan pembakaran terbuka bermula bulan hadapan kerana tidakan itu boleh menyebabkan situasi jerebu berkelompok terjadi seperti di Baram, Sarawak sebelum ini,” katanya dipetik Bernama.

Wan-JunaidiPada masa sama, beliau berkata, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) turut membina telaga air tanah di 67 kawasan kering berisiko terbakar manakala Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) membina sekatan (check dam) bagi menghalang kebakaran di tanah gambut.

Katanya, tindakan efisien pihak berkuasa Indonesia menambah bilangan helikopter untuk operasi bom air turut menyumbang kepada keyakinan Malaysia bebas jerebu, tahun ini.

“Indonesia juga sudah menubuhkan pasukan petugas khas yang bertindak mencari dan memadam segera kebakaran di kawasan sering berlaku kebakaran hutan seperti di Kalimantan.

“Malaysia juga komited menawarkan pesawat Bombardier untuk digunakan dalam operasi memadam kebakaran,” katanya.

-AA-