OLEH LIZAWATI MADFA
KLANG, 28 MAC: Kakitangan wanita Majlis Perbandaran Klang (MPK) diakui seringkali bertindak sebagai pemangkin kepada kejayaan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.
Setiausaha MPK, Adi Faizal Ahmad Tarmizi berkata, ia membuktikan wanita mempunyai kredibiliti tersendiri bagi menyumbang kepada pembangunan serta kemajuan sesebuah organisasi.
“Wanita sebagai aset bernilai tinggi perlu terus menyerlah dan kami yakin wanita akan terus menjadi pemangkin kepada tonggak kejayaan MPK.
“Sambutan ini walaupun ringkas namun ia penuh bermakna dalam kita menghargai kakitangan wanita sebagai warga MPK,” katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Sambutan Hari Wanita MPK di Auditorium Raja Ismail, di sini, baru-baru ini.
Adi Faizal berkata, sambutan itu sebagai tanda penghargaan atas sumbangan, pengorbanan dan penglibatan kakitangan wanita dalam gerak kerja MPK yang semakin mencabar dalam mendepani isu perbandaran.
Katanya, pelbagai program dirancang bersempena Hari Wanita termasuk aktiviti melibatkan keagamaan, kesihatan dan kecantikan.
Pada 1977, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mula mengiktiraf 8 Mac setiap tahun sebagai Hari Wanita Sedunia.
=EZY=