OLEH NAZLI IBRAHIM
KUALA LUMPUR, 22 MAC: Satu pertemuan membabitkan Jawatankuasa Teknikal Bersama Pakatan Harapan – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) telah diadakan untuk membincangkan beberapa isu penting sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Ketua Setiusaha Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata pertemuan yang diadakan di Parlimen itu membabitkan Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Sim Tze Tzin; Naib Pengerusi Jawatankuasa Pusat DAP, Teresa Kok; Ketua Pengarah Pilihanraya Parti Amanah Nasional (Amanah), Dr Mohd Hatta Ramli dan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
“Dalam pertemuan lebih sejam ini, beberapa isu dasar dibincangkan termasuk pembentukan Jawatankuasa Perundingan Kerusi, Jawatankuasa Manifesto serta memulakan usaha pendaftaran rasmi gabungan Pakatan Harapan,” kata Saifuddin dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan.
Jelasnya, langkah itu adalah selaras dengan keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan yang menerima hasrat PPBM sebagai anggota Pakatan Harapan.
=EZY=