Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

PDTK amalkan budaya kerja berintegriti

OLEH SYAZWANI SUFIAN

KLANG, 16 MAC: Pejabat Daerah dan Tanah Klang (PDTK) sentiasa mengamalkan budaya kerja berprestasi tinggi dan berintegriti dalam menyampaikan perkhidmatannya kepada masyarakat.

Pegawai Daerah dan Tanah Klang, Mohd Zainal Mohd Nor berkata, pihaknya menjalankan fungsi unit integriti sejak 2014 seiring dengan penubuhan Unit Integriti di peringkat Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Elemen integriti adalah salah satu etika penting dan nadi kepada pencapaian hasil kerja.

“Selain penubuhan unit integriti, kita juga menyertai dan mengendalikan beberapa program berkaitan integriti dengan menyasarkan memberi kesedaran serta kefahaman kepada semua kakitangan PDTK,” katanya ketika Majlis menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR), di pejabat PDTK, di sini, hari ini.

PENGARAH TNB KLANGSebelum itu, difahamkan PDTK juga pernah bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor dalam menjayakan Program Kembara Integriti di Pulau Ketam, pada tahun lalu.

“Saya yakin semua kakitangan bersikap telus kerana sebelum ini kita menubuhkan Jawatankuasa Audit Dalam bertujuan mengaudit urusan perolehan dan kewangan bagi mengesan sebarang ketirisan yang berlaku dalam PDTK sendiri.

“Selain itu, dengan adanya persijilan MS ISO 9001:2008 dan pensijilan 5S, prosedur kerja adalah tetap dan perlu dipenuhi semua kakitangan kerana jika semuanya dipatuhi, maka kita yakin dapat mencegah jika berlaku rasuah atau salah guna kuasa,” katanya.

Beliau sendiri menjalankan pemeriksaan secara mengejut ke atas semua pegawai rekod kewangan dan perolehan di Unit Kewangan dan Unit Hasil.

“Setakat ini, selama saya berkhidmat di PDTK tidak ada kes rasuh atau salah guna kuasa dalam kalangan kakitangan.

“Saya berharap program IBR hari ini dapat memberi mesej kepada Kerajaan Negeri, agensi dan jabatan kerajaan serta orang awam bahawa kita komited untuk bebas daripada rasuah,” katanya.

-NFN-