Categories
SELANGOR

Permaisuri Selangor singkap pengalaman pelihara 10 ekor kucing jalanan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 23 MAC : Walaupun berstatus Diraja, namun kecintaan terhadap haiwan peliharaan kucing tidak membataskan status sebagai Tengku Permaisuri Selangor.

DYMM Tengku Permaisuri Norashikin bertitah, kecintaannya terhadap haiwan itu bermula sejak kecil selepas memelihara beberapa ekor kucing jalanan di kediamannya.

“Saya membesar dengan kucing. Setiap kali keluarga saya berpindah, kucing-kucing tersebut seakan mengetahui bahawa keluarga kami merupakan pencinta haiwan.

“Akhirnya kami memberi makanan kepada kucing-kucing liar di sekitar kediaman dan kesudahannya mereka tinggal bersama kami,” titah Tengku Permaisuri dalam catatannya sempena pelancaran Kempen Stray Free Selangor (SFS).

Tengku Permaisuri turut bertitah tentang sifat kasihnya terhadap haiwan itu walaupun ketika berada di luar kediamannya tanpa mengabaikan kebajikan haiwan itu.

“Telah menjadi suatu kebiasaan bagi saya untuk menyimpan makanan kucing dan anjing di dalam kereta.

“Walaupun saya tidak dapat menyelamatkan haiwan-haiwan ini, sekurang-kurangnya saya dapat memberi mereka makanan kerana sukar bagi saya untuk mengabaikan haiwan ini.

“Sehingga kini saya memiliki lebih daripada 10 kucing jalanan yang telah saya selamatkan dari pasar-pasar, tepi jalan dan restoran yang sering saya kunjungi,” titah Tengku Permaisuri.

Lebih manis kecintaan Tengku Permaisuri terhadap haiwan itu turut dizahirkan selepas berkenan menaungi sebuah pertubuhan badan bukan kerajaan, SPCA Selangor sebagai Penaung Diraja pertubuhan itu.

Titahnya, fungsi SPCA bagi memberi pendedahan dan pendidikan umum untuk mengenalpasti kaedah terbaik mengawal populasi haiwan jalanan di negeri ini.

Tidak terhenti setakat itu, usaha tersebut diteruskan menerusi komitmen Tengku Permaisuri dengan membangunkan sebuah penempatan khas bagi haiwan peliharaannya di Istana Mestika, Shah Alam.

“Matlamat kita untuk menjadi sebuah negara yang membangun hanya akan direalisasi sekiranya kita semua menjaga haiwan jalanan ini dengan baik.

“Marilah kita semua bersatu tenaga untuk menjadikan Selangor sebagai negeri bebas haiwan jalanan.

“Saya berharap kempen SFS menjadi sebuah platform pemangkin bagi Malaysia menjadi negara bebas haiwan jalanan pada masa akan datang,” titah Tengku Permaisuri.

=EZY=