SAN FRANCISCO 20 MAC: Syarikat Perkhidmatan Pengangkutan Uber Technologies Incoporated (Uber) berdepan masalah lebih besar apabila Presidennya, Jeff Jones, iaitu pakar pemasaran yang diupah untuk membantu meningkatkan reputasi syarikat, meletak jawatan.
Agensi Berita Antarabangsa REUTERS melaporkan jurucakap Uber berkata, Jones meletak jawatan kurang tujuh bulan selepas menyertai syarikat yang berpangkalan di San Francisco itu.
Punca peletakan jawatan itu masih tidak diketahui, tetapi peranan Jones menjadi tanda tanya selepas Uber mengiklankan jawatan Ketua Pegawai Operasi (COO) awal bulan ini untuk membantu mengurus syarikat bersama Ketua Eksekutif, Travis Kalanick.
Jones sudah melaksanakan beberapa tanggungjawab COO. Beliau pernah bersama syarikat Target sebagai Ketua Pegawai Pemasaran dan mendapat pengiktirafan kerana memodenkan jenama terbabit sebelum menyertai Uber.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Jeff selama enam bulan beliau berkhidmat dengan syarikat ini dan mengharapkan yang terbaik untuknya,” kata seorang jurucakap Uber dalam satu kenyataan.
Bulan lalu, jurutera eksekutif syarikat itu, Amit Singhal, dinasihatkan supaya meletak jawatan susulan tuduhan gangguan seksual ketika bertugas di Alphabet Incoporated Google. Sementara itu, awal bulan ini, Naib Presiden Produk dan Peluasan Uber, Ed Baker dan Penyelidik Keselamatan Uber, turut meletak jawatan.
=EZY=