Categories
KENYATAAN MEDIA

RM15 juta untuk forum dua hari?

OLEH DATO’ SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL

SHAH ALAM, 24 MAC: Saya difahamkan penganjuran Forum Transformasi Global (GTF) 2017 menerima peruntukan khas RM15 juta daripada kerajaan seperti dimaklumkan sendiri oleh Najib Razak.

Tidakkah sejumlah RM15 juta bagi suatu forum yang berlangsung hanya selama dua hari (22-23 Mac 2017) itu merupakan suatu pembaziran?

Walaupun GTF dilihat sebagai platform pemimpin atau individu dunia yang secara tidak langsung melibatkan diri dan berkongsi pengalaman tetapi dapatkah Najib Razak memperolehi manfaat bagi memacu transformasi negara setanding dengan negara-negara maju yang lain?

Kewujudan acara ini seolah-olah kerajaan mahu mewujudkan platform untuk Najib Razak mempromosikan dirinya sendiri kepada rakyat, apatah lagi dengan desus-desas mengatakan hampir tibanya musim pilihanraya.

Jumlah RM15 juta ini jika dapat dijimatkan oleh kerajaan, pastinya akan dinikmati oleh rakyat dalam bentuk subsidi, apatah lagi ketika rakyat sedang menghadapi kos sara hidup yang tinggi.

RM15 juta adalah satu jumlah kerugian yang besar sekiranya acara tersebut diadakan hanya untuk mendengar perbincangan. Penghapusan subsidi demi subsidi menunjukkan kekangan kewangan kerajaan dan ini bakal menyaksikan kenaikan harga.

Alangkah baiknya jika Malaysia mempunyai kerajaan yang bijak dalam mentadbir dan menguruskan perbelanjaan negara, bukannya menghabiskan RM15 juta untuk mendengar ceramah inspirasi yang boleh ditonton di media massa secara percuma.

Alangkah baiknya sekiranya kerajaan memastikan setiap sen yang dikutip daripada cukai dibelanjakan untuk manfaat rakyat.

*Saifuddin Nasution adalah Setiausaha Agung KEADILAN