KUALA KUBU BHARU 19 MAC: Mayat terakhir mangsa yang dihanyutkan arus deras di anak Sungai Selangor kelmarin, Muhammad Aiman Kamarul Ariffin, 12, ditemui pada jam 1.15 tengah hari tadi.
Sebelum itu, mayat mangsa arus deras yang ditemui pada jam 10.20 pagi di tebing Sungai Selangor, Bukit Beruntung di sini, oleh pasukan penyelamat disahkan sebagai Mohd Ikhwan Mohd Ridhuan, 10 tahun.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan R Supramaniam, berkata identiti mangsa disahkan oleh bapanya melalui proses pengecaman di Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB).
“Mayat mangsa ditemui pada jam 10.20 pagi oleh sepasukan anggota bomba di bahagian tebing sungai, kira-kira 3 kilometer dari pusat operasi mencari.
“Pengecaman mayat dibuat melalui pakaian yang dipakai mangsa serta tanda fizikal di tubuhnya,” katanya lapor BH ONLINE.
Jumaat lalu, lapan sahabat menangguk ikan di anak Sungai Selangor di Kampung Timah sebelum dihanyutkan arus deras setinggi 5 meter berpunca daripada kepala air.
Dengan ini tujuh mangsa disahkan meninggal dunia, seorang terselamat. Kesemua mangsa berusia antara sembilan hingga 12 tahun.
=EZY=