Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Usaha patahkan semangat pimpinan KEADILAN takkan berjaya

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 10 MAC: KEADILAN melahirkan rasa dukacita terhadap hukuman yang dikenakan terhadap Naib Presidennya, Tian Chua.

Setiausaha Agungnya, Dato’ Saifuddin Nasution Ismail bagaimanapun menegaskan usaha untuk mematahkan semangat pimpinan KEADILAN tidak akan berjaya.

Malah, katanya, KEADILAN akan terus istiqamah dalam perjuangan reformasi dan membawa perubahan demi Malaysia yang lebih baik.

“Semalam, Naib Presiden KEADILAN dihukum denda RM3,000 kerana mengeluarkan perkataan terhadap seorang anggota polis lelaki berpakaian biasa yang merampas telefonnya, pada 2013.

Saifuddin Nasution“KEADILAN amat berdukacita dengan hukuman ini kerana tuduhan itu kali pertamadi bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang biasanya diguna untuk mempertahan kehormatan seorang wanita daripada dicabuli secara seksual, namun diguna terhadap seorang Ahli Parlimen dengan cara begini,” katanya dalam kenyataan.

Saifuddin berkata, walaupun hukuman itu tidak menjejaskan status Tian Chua sebagai Ahli Parlimen Batu selagi proses rayuan belum selesai, namun ia mungkin menghilangkan kelayakan beliau untuk bertanding dalam Pilihanraya Umum ke-14 (PRU-14).

Pada masa sama, katanya, ketika ini, terdapat lebih 20 pimpinan KEADILAN dihadapkan ke mahkamah dan hampir semua dituduh di bawah Akta Hasutan atau Akta Perhimpunan Aman.

Katanya, 11 adalah Ahli Parlimen atau ADUN daripada jumlah besar itu.

“Ini bermakna, sama seperti Tian Chua, sekiranya mereka didapati bersalah dan dihukum denda lebih RM2,000 atau dipenjara lebih setahun, maka ada kemungkinan ramai pimpinan KEADILAN akan hilang kelayakan untuk bertanding dalam PRU-14.

“Ini bukan perkembangan yang baik buat demokrasi di Malaysia terutama di kala negara dibelenggu pelbagai krisis kewangan, tatakelola, rasuah, politik dan kepimpinan,” katanya.

-NFN-