Categories
SUKANKINI

110 bas ditempah saksikan Piala Sultan Selangor

OLEH NAZLI IBRAHIM

KLANG, 4 APR: Ahli Jawatankuasa Sekretariat Piala Sultan Selangor 2017 menyediakan 110 bas untuk kemudahan peminat bola sepak di negeri ini menyaksikan perlawanan membabitkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menentang pasukan Singapura pada 6 Mei nanti.

Pengerusi/Pengurus Pasukan TSSC 2017, Tan Sri Abd Karim Munisar berkata, perlawanan itu dijangka bertambah menarik apabila buat kali pertama selepas tujuh tahun perlawanan itu diadakan semula di Stadium Nasional, Singapura sejak diubahsuai.

“Sungguhpun bas disediakan secara percuma dan tiket dijual dengan harga RM10 tetapi yang lebih penting sambutan yang memberangsangkan dipamerkan oleh penyokong bola sepak Selangor berasaskan semangat sokongan yang jitu kepada pasukan kita.

“Ini selaras dengan hasrat murni Piala Sultan Selangor yang memberi ruang istimewa untuk semua lapisan masyarakat bersama terhibur dengan acara tahunan hasil cernaan idea oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku (DYMM),” kata Abd Karim pada Majlis Minum Petang Piala Sultan Selangor 2017 di Istana Alam Shah, di sini, semalam.

Jelasnya, pihak penganjur turut mengadakan beberapa mesyuarat dengan jabatan seperti Polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor dan Pengarah Jabatan Imigresen Selangor.

Katanya, perjalanan dibuat secara berperingkat bersesuaian dengan titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menyarankan supaya sentiasa mengutamakan keselamatan.

Selain menempatkan seorang anggota polis dan pegawai JPJ dalam setiap bas, Jawatankuasa Sekretariat Piala Sultan Selangor juga merancang membuat permit berkelompok pada 8 April bagi memudahkan ahli-ahli Kelab Penyokong yang tidak memiliki pasport.

=EZY=