OLEH SYAZWANI SUFIAN
SHAH ALAM, 12 APRIL: Sebanyak 30 premis diberi notis dan kompaun oleh Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) terhadap pengusaha dan peniaga mengubahsuai rumah menjadi premis perniagaan.
Yang Dipertua MPKj, Mohd Sayuthi Bakar berkata, operasi bersepadu itu dilaksanakan bersama jabatan teknikal bagi membanteras peniaga haram agar tidak mengganggu ketenteraman penduduk di kawasan terbabit.
“Terdapat beberapa premis yang telah lama diubahsuai menjadi premis perniagaan.
“Kita akan mengambil kira dalam program penggantian Rancangan Tempatan akan datang,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pihaknya telah melakukan inventori terhadap 30 rumah dipercayai diubah menjadi premis perniagaan seperti kedai runcit dan tindakan diambil dengan mengeluarkan notis serta kompaun kepada pemilik.
“Kita mengarahkan pemilik premis mematuhi syarat ditetapkan. Tindakan dikenakan mengikut kes.
“Kita tidak mempertimbangkan walau sebuah rumah dijadikan premis perniagaan dan mereka perlu menukar balik menjadi kediaman,” katanya.
=EZY=