Categories
SELANGOR

965 asnaf bebas kelompok kemiskinan

SHAH ALAM, 28 APRIL: Seramai 965 keluarga asnaf fakir dan miskin berjaya dikeluarkan daripada kelompok itu pada 2016, menurut Lembaga Zakat Selangor (LZS).

LZS dalam kenyataan berkata, daripada jumlah itu, 790 keluarga yang menjadi penerima zakat keluar daripada kategori asnaf hasil siasatan semasa dilaksanakan menggunakan garis penentuan fakir dan miskin iaitu had al-kifayah.

“Manakala 175 keluarga lagi yang keluar daripada kategori asnaf adalah penerima zakat bagi bantuan perniagaan di bawah Program Pembangunan Ekonomi,” katanya.

Pada 2016, RM6.7 juta diagihkan kepada usahawan asnaf fakir dan miskin yang berpontesi, sementara RM300,000 diberikan kepada usahawan asnaf mualaf.

Bantuan itu meliputi perniagaan, perikanan, penternakan, pertanian dan projek usahawan berkelompok.

Pada tahun ini, LZS mensasarkan 220 keluarga keluar daripada kategori asnaf fakir dan miskin, sekali gus menjana pendapatan yang dapat membangunkan ekonomi keluarga mereka.