OLEH AFIX REDZUAN
KLANG, 26 APRIL: Kedai serbaneka 99 Speedmart berbesar hati memperuntukkan RM500,000 kepada Majlis Perbandaran Klang (MPK) sebagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) 2017 bagi memanfaatkan kutipan penjualan beg plastik berharga 20sen sebelum ini.
Timbalan Yang Dipertua MPK, Adi Faizal Ahmad Tarmizi berkata, jumlah itu diberikan hasil kutipan daripada 96 cawangan kedai serbaneka 99 Speedmart di daerah Klang.
“Kita memberikan kertas cadangan supaya hasil wang 20 sen pembelian plastik digunakan untuk tujuan kemasyarakatan.
“Alhamdulillah 99 Speedmart tertarik dengan cadangan itu dan kita mengemukakan kertas kerja kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPK Bil.4/2017.
Keputusan itu sekaligus menjadikan MPK sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama yang menerima geran pembiayaan hasil daripada kutipan penjualan beg plastik bernilai 20 sen tambahan cawangan pertama 99 Speedmart dibuka di daerah Klang.
Menurutnya, cadangan itu mula dibangkitkan sekitar awal Februari lalu dan ia akan digunakan untuk tiga elemen utama iaitu pembersihan sungai, pengindahan bandar dan program kemasyarakatan.
Namun, bentuk perincian gerak kerja pembangunan masih dalam perbincangan dan akan diputuskan kemudian.
Difahamkan selepas ini Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) juga akan mengikut jejak langkah yang dilakukan MPK.
Adi Faizal berkata pihaknya tidak menetapkan sebarang undang-undang yang mewajibkan pengusaha kedai serbaneka lain menggunakan wang kutipan jualan beg plastik untuk kegunaan CSR kerana semua pihak sudah mempunyai pelan program kemasyarakatan tersendiri.
=EZY=