Categories
SAINS & INOVASI

Asteroid sebesar Menara Shanghai lintasi Bumi 19 April

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

SHAH ALAM 12 APRIL: Sebuah asteroid diberi nama 2014 JO25 dilaporkan bakal melintasi ‘hampir’ dengan Bumi pada 19 April 2017 (Rabu) nanti.

Portal FALAK ONLINE melaporkan asteroid itu dipercayai mempunyai diameter sepanjang 650 meter, bakal melintasi Bumi pada jarak selamat, iaitu sejauh 1.8 juta kilometer, atau lebih kurang 4.6 kali ganda lebih jauh dari Bulan.

Pada saiz tersebut, asteroid 2014 JO25 ini hampir sama tinggi dengan Menara Shanghai di China.

FALAK ONLINE melaporkan banyak laman web yang menularkan cerita dan mengatakan asteroid ini bakal terhempas ke Bumi dan menyebabkan mega tsunami.

“Itu semua tidak benar kerana jarak lintasannya amat jauh. Malah, Bumi kita ini pun sentiasa dilintasi asteroid-asteroid yang bersimpang-siur, malah ada yang bergerak di antara Bumi dan Bulan pun.

“Cuba istimewanya kali ini ialah saiz asteroid tersebut agak besar. Kali terakhir sebuah asteroid yang besar melintasi hampir dengan Bumi ialah pada tahun September 2004, oleh asteroid Toutatis (yang bersaiz 5 km!),” tulis FALAK ONLINE.

ASteroid1Penemuan asteroid 2014 JO25 ini dibuat menerusi pencerapan Catalina Sky Survey hampir tiga tahun dulu. Projek ini merupakan satu usaha untuk memantau pergerakan asteroid-asteroid yang boleh mengancam Bumi pada masa hadapan.

Buat masa ini, ahli astronomi masih tidak tahu komposisi asteroid ini, sama ada ia berais atau berbatu.

Namun begitu, menerusi misi angkasa NEOWISE (Near-Earth Object Wide-field Infrared Survey Explorer), pemerhatian awal menunjukkan asteroid ini mempunyai tahap pembalikan cahaya dua kali lebih banyak berbanding Bulan.

“Ini bermakna, walaupun ia melintasi jauh (atau dekat, bergantung kepada perspektif masing-masing) daripada Bumi, ia boleh dapat dilihat menerusi teleskop kecil daripada Bumi.

Menurut space.com , ia akan muncul satu ke dua malam sekitar tarikh terdekat ia melintasi Bumi, iaitu 19 April ini.

 
WAKTU SESUAI MENCERAP

FALAK ONLINE melaporkan waktu ketika ia paling cerah, bersinar pada magnitud 10.7 ialah beberapa jam selepas ia melintas paling hampir iaitu 8:24 malam waktu Malaysia.

ASTER“Namun ketika itu, ia belum terbit lagi. Asteroid ini akan hanya kelihatan selepas jam 9 malam, tetapi itu pun rendah di ufuk timur,” tulis FALAK ONLINE.

Peta kedudukan asteroid ini mendapati menjelang sekitar jam 1.30 pagi masuk tarikh 20 April, asteroid 2014 JO25 ini berada pada poin paling tinggi iaitu sekitar 43 darjah, berhampiran dengan buruj Biduk atau Ursa Major.

Kedudukan tertinggi asteroid 2014 JO25 pada jam 1.30 pagi (12.30 tengah malam di Sabah) pada 20 April 2017.

=EZY=