OLEH SYAZWANI SUFIAN
DAMANSARA, 23 APRIL: HIJRAH Selangor menjalin Perjanjian Persefahaman (MOU) bersama Bazaar Pak Nil yang diterajui oleh Datuk Aznil Nawawi bagi mempertingkat kerjasama dan meluaskan peluang perniagaan ke peringkat lebih tinggi.
Majlis Menandatangani MOU dilakukan ketika Majlis Perasmian Made In Selangor yang disaksikan sendiri DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dengan Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Usahawan, Amirudin Shari di One Utama, semalam.
Aznil berkata, perjanjian itu adalah medium bagi usahawan baru dan kecil melangkah dan berkembang ke industri perniagaan.
“Saya bersetuju menjalin MOU ini kerana, HIJRAH mempunyai banyak faedahnya seperti mereka boleh memberikan pinjaman wang permualaan.
“Namun branding itu sangat penting, kerana walaupun ramai yang sudah mendapat modal tetapi mereka masih sangat sukar untuk menembusi jenama mereka ke pasaran.
“Menjadi peranan saya membawa nama Bazaar Pak Nil, kita mengharapkan dapat mengetuk banyak pintu pasaran di luar yang menyokong produk tempatan ini,” katanya kepada SelangorKini selepas Majlis Perasmian Made In Selangor di One Utama, semalam.
Tambahnya lagi, beliau begitu mementingkan penjenamaan dalam sesebuah perniagaan itu kerana produk dijalankan kadang kala sama tetapi apa yang membezakan produk mereka haruslah diajar kepada usahawan baru di bawah HIJRAH.
“Pak Nil memayungkan nama Pak Nil sendiri dengan mewujudkan bazaar sebagai permulaan usahawan baru dan muda untuk lebih dikenali kepada masyarakat,” katanya.
Program itu dijalinkan dengan melibatkan 15 pengusaha tempatan yang terpilih dengan harapan penglibatan usahawan menjadi platform terkini menggalakkan usahawan lain khususnya anak muda.
Ia selaras dengan matlamat Kerajaan Negeri yang mensasarkan 56,000 usahawan bimbingan HIJRAH Selangor menjelang 2018.
=EZY=