Categories
GLOBAL

FIFA & UEFA kutuk insiden letupan terhadap Borussia Dortmund

DORTMUND (Jerman): Presiden Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA), Aleksander Ceferin berkata, Borussia Dortmund dan AS Monaco membuat keputusan tepat membatalkan perlawanan dan menunda ke tarikh lain

selepas insiden serangan ke atas bas pasukan Dortmund, awal pagi tadi.

Agensi Berita Antarabangsa AP melaporkan badan induk bola sepak Eropah itu memberikan maklum balas segera selepas dikejutkan dengan insiden tiga letupan berhampiran bas pasukan menyebabkan pemain Dortmund cedera.

Ceferin yang mengakui dia begitu terkejut dengan insiden itu berkata, kedua-dua pasukan membuat keputusan tepat apabila menunda perlawanan dengan mengutamakan keselamatan peminat, pemain dan pegawai.

Beliau turut meminta semua pihak – kelab, pihak berkuasa dan penyokong kedua-dua pasukan menyokong sepenuhnya kerjasama menyiasat insiden berkenaan.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA), Gianni Infantino juga mengutuk serangan berkenaan dan menganggapnya sebagai sesuatu yang membimbangkan.

“FIFA mengutuk insiden di Dortmund. Kami semua sedang menunggu laporan penuh kejadian,” katanya.

=EZY=