Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Giliran surau Nurul Iman terima RM30,000

OLEH LIZAWATI MADFA

SABAK BERNAM, 7 APR: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali hari ini mengumumkan sumbangan RM30,000 kepada surau Nurul Iman di Kampung Parit 1, Sungai Besar, di sini.

Beliau berkata, ia bagi menampung kos penambahbaikan surau uzur yang berusia puluhan tahun itu selain inisiatif jangka pendek sempena ketibaan Ramadan dalam tempoh kurang dua bulan lagi.

“Pada masa sama, saya melihat sama ada tapak itu boleh dibangunkan surau baru kerana dimaklumkan ia adalah tapak persendirian dan pemilik sudah bersetuju untuk mewakafkannya.

MB SURAU USANG SABAK BERNAM (1)“Jadi, saya minta pihak berkenaan memulakan proses wakaf dengan persetujuan pemilik. Kita akan lihat kosnya selepas proses wakaf selesai,” katanya kepada Selangor Kini.

Terdahulu, Mohamed Azmin menikmati sarapan pagi di Warung Parit 1 yang terletak kurang 100 meter dari surau Nurul Iman.

Walaupun tiada dalam jadual, beliau yang diadukan berhubung hal surau berkenaan segera menapak untuk melihat sendiri keadaannya.

Sejurus ‘ziarah’ mengejut itu, Mohamed Azmin memilih untuk menunggang motor kapcai sejauh kira-kira 12 kilometer untuk ke lokasi seterusnya di Masjid Sultan Muhammad Shah, Kampung Parit 10.

Beliau berkata, tindakannya meninggalkan kereta rasmi bagi memudahkannya memeriksa keadaan jalan di kawasan berkenaan.

“Tahniah Majlis Daerah Sabak Bernam dan Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam kerana jalan elok.

“Jalan berturap bukan kerana menteri tetapi mereka lakukan untuk kemudahan dan keselesaan penduduk setempat,” katanya.

-NFN-