OLEH AFIX REDZUAN
KUALA LUMPUR, 5 APRIL: Ikatan Lepasan Mahasiswa Mesir (ILMAM) Selangor menyambut baik bantuan RM2 juta untuk menampung pelajar melanjutkan pelajaran ke Timur Tengah, khususnya di Mesir.
Setiausaha Agungnya, Farhan Madzlan berkata, pengumuman Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali itu sangat dinantikan bagi membantu pelajar Selangor yang menyambung pengajian di Mesir.
“ILMAM sangat menyambut baik bantuan diumumkan Kerajaan Negeri khusus untuk pelajar di Mesir.
“Bertahun lamanya kita membangkitkan perkara ini kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan akhirnya pimpinan Kerajaan Negeri memberi perhatian sewajarnya,” katanya.
Pada masa sama, katanya, ILMAM akan memberikan kerjasama dalam kunjungan Mohamed Azmin ke Mesir yang dijadualkan, pada Mei ini.
Seramai 110 pelajar dari Selangor akan melanjutkan pelajaran dalam bidang Usuluddin, bahasa Arab dan Syariah di Mesir, pada 9 April ini.
Mohamed Azmin ketika membuat pengumuman pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) berkata, tindakan itu dibuat sebagai menjunjung titah DYMM Sultan Selangor yang menekankan umat Islam perlu berpegang kepada ajaran Ahli Sunnah Waljamaah.
-AA-