Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Jangan bazir ubat

SHAH ALAM, 24 APRIL: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengingatkan orang ramai supaya tidak membuang ubat yang diterima dari hospital atau klinik sejurus mendapat sijil cuti sakit (MC).

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Helmi Yahya berkata, hal itu kerana pihaknya menerima banyak laporan pesakit membuang ubat-ubatan diterima di luar pagar hospital atau klinik selepas mendapat rawatan.

Katanya, kementerian turut mengenal pasti perbuatan itu banyak dilakukan dalam kalangan pesakit yang menghidap kencing manis dan darah tinggi.

“Kalu tidak mahu ubat, jangan ambil atau pulangkan semula kepada klinik atau hospital berkenaan kerana selain merugikan, tindakan itu amat merbahaya terutama kepada kanak-kanak jika mereka menemuinya,” katanya lapor Sinar Harian.

Pada masa sama, Dr Helmi berkata, KKM memandang serius perbuatan tidak bertanggungjawab itu kerana ia menyebabkan kerugian besar kepada kerajaan.

“Ubat yang disediakan bukanlah sedikit, sebaliknya menelan kos sehingga RM22 bilion, pada tahun lalu,” katanya.