Categories
SELANGOR

Karnival mini untuk kesedaran autisme meriah

OLEH NORHAYATI UMOR

KOTA DAMANSARA, 29 APRIL: Karnival mini untuk kesedaran autisme yang dianjurkan Pusat Pendidikan Khas Eden Firdaus di Red Carpet Avenue, Strand Mall, di sini, berlangsung meriah.

Acara bermula jam 8 pagi hingga 4 petang itu menyediakan pelbagai program menarik antaranya 10,000 langkah bersama ibu bapa, kanak-kanak autisme, selebriti tempatan serta dan kaunseling serta pelbagai permainan disediakan.

Pengasasnya, Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata, matlamat karnival itu adalah mendekatkan ibu bapa dan pengunjung memahami permasalahan membabitkan kanak-kanak autisme.

Katanya, karnival itu penting dalam meningkatkan tahap kesedaran masyarakat berdepan perilaku kanak-kanak autisme di peringkat awal.

“Ibu bapa sebenarnya tahu tahap kesedaran mereka kurang berkenaan autisme sehingga ada yang menyorok kerana malu selain faktor kewangan dan kurang pendedahan ilmu berkaitan,” katanya.

WhatsApp Image 2017-04-29 at 12.30.03 PMKarnival terbabit dirasmikan Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi.

Hadir sama, beberapa selebriti tempatan antaranya Dato’ Eizlan Yusof, Datin Nina Juren, Dafi AF dan Tony Eusoff.

Ahmad Idham berkata, sejak setahun pembukaan pusat itu, ia memberi kesan positif kepada ibu bapa apabila kanak-kanak terbabit menunjukkan perkembangan dan perubahan dalam diri.

Katanya, struktur dan silibus pusat itu diambil dari Saint Clare School for Special Education di Singapura yang terbukti berjaya sejak 20 tahun lalu.

“Eden kini mempunyai 20 pelajar serta mendapat bantuan khas daripada Kerajaan Negeri bagi membantu pusat ini mengambil pelajar separa kemampuan untuk menerima pendidikan khas,” katanya.