Categories
BERITA UTAMA SELANGOR SUKANKINI

Kerajaan Negeri, GLC sumbang RM605,555 jayakan Piala Sultan Selangor

OLEH NAZLI IBRAHIM

KLANG, 4 APR: Kerajaan Negeri dan anak syarikat berkaitan Kerajaan Negeri Selangor (GLC) menunjukkan komitmen bagi memastikan kecemerlangan penganjuran Piala Sultan Selangor 2017 (TSSC 2017) apabila menjadi penaja utama kejuaraan kali ini.

Pengerusi/Pengurus Pasukan TSSC 2017, Tan Sri Abd Karim Munisar berkata, kesungguhan itu dapat dilihat apabila Kerajaan Negeri dan GLC menyumbang sebanyak RM605,555.55 untuk penganjuran kali ini.

“Di sini patik ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada Dato’ Menteri Besar di dalam usaha mendukung TSSC 2017 melalui sumbangan sebanyak RM605,555.55,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Minum Petang Piala Sultan Selangor 2017 di Istana Alam Shah, di sini, semalam.

Jelasnya, Perbendaharaan Kerajaan Negeri menyumbang RM100,000, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) RM200,000, Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) RM100,000, KDEB Waste Management RM55,555.55, World Wide Holdings Berhad RM50,000, Kumpulan Semesta Sdn Bhd RM50,000 dan Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI Selangor) juga sebanyak RM50,000.

Katanya selain itu, pengasas dan Presiden Kingsley Edugroup Berhad, Tan Sri Barry Goh dan Pengurus Besar Kumpulan Selangor Dredging Berhad, Loong Ching Hong masing-masing turut menyumbang sebanyak RM100,000.

Manakala Splash Berhad yang diwakili Pengarah Eksekutif, Dato’ Azmi Mat Nor, Taliworks Corporation Berhad diwakili Pengarah Eksekutif, Datuk Ronnie Lim Yew Boon dan Eco World Development Group Berhad diwakili Pengarah Eksekutif, Dato’ Voon Tin Yow dan Yuwang Group diwakili Pengarah Eksekutifnya, Dr Lim Soon Kam pula masing-masing menyumbang RM50,000.

Sementara itu SP Setia Berhad yang diwakili Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khor Chap Jen turut menyumbang RM50,000 sekaligus meneruskan tradisi syarikat pemaju itu memberikan sumbangan buat kali kelapan.

=EZY=