OLEH Kesavan Subramaniam
Saya ambil maklum kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Mohd Yazid Ramli yang menyatakan telah menahan 273 individu kerana menggunakan kad pengenalan palsu atau pengenalan milik orang lain sepanjang tahun 2016.
Saya percaya di luar sana masih terdapat ramai lagi individu yang menggunakan kad pengenalan palsu. Malah dikatakan kebanyakan mereka yang ditahan adalah pekerja yang berasal dari Sabah, malah siasatan lanjut mendapati mereka berasal dari Filipina.
Apa yang membimbangkan saya ialah sindiket pengeluaran kad pengenalan palsu masih berterusan dan mudah didapati.
Apakah tindakan kerajaan Umno BN bagi memastikan masalah pengenalan palsu ini dapat ditegah sepenuhnya? Adakah ini boleh dikatakan kesinambungan satu lagi ‘Projek IC II’ memandangkan pilihanraya semakin hampir?
Bermula dengan kad pengenalan palsu, pendatang mula mendapatkan kerja dan seterusnya mempunyai kad pekerja, kad CIDB dan pas pekerja.
Bagaimana pula dengan nasib anak tempatan yang berusaha mendapatkan kerja, sedangkan pendatang dengan kad pengenalan palsu begitu mudah sekali mendapatkan pekerjaan.
Saya ingin kerajaan Umno BN bertegas dengan isu kad pengenalan palsu ini dengan mengerahkan Pasukan Khas untuk menjalankan siasatan terperinci ke atas kumpulan yang terlibat dengan sindiket pengeluaran kad pengenalan palsu.
* Kesavan Subramaniam adalah ADUN Hutang Melintang – Parti Keadilan Rakyat (PKR)